Assalamualaikum w.b.t :)
Musibah adalah satu perkara yang hampir pasti berlaku pada setiap insan.
Ada yang diuji dengan kehilangan harta, kehilangan orang tersayang, perceraian, tiada anak, tidak lulus periksa, dan berbagai-bagai lagi.
Masing-masing diuji dengan perkara yang berlainan.
Ada manusia yang ditimpa musibah tetapi dia tidak berdoa kepada Allah,
bahkan mereka jauh bertambah sesat dan berputus asa dengan rahmat Allah.
Contohnya kes bunuh diri, terjun bangunan, makan pil tidur dan sebagainya.
Ada juga sekelompok manusia yang berdoa tetapi di dalam hati mereka tiadanya yakin kepada Allah. Mereka sekadar berdoa kerana sudah terbiasa bila ada masalah perlu berdoa.
Hati mereka lalai ketika bermunajat dan adab-adab dalam berdoa tidak dilaksanakan.
Tetapi ada juga sekelompok manusia yang diberi petunjuk oleh Allah,
mereka berdoa bersungguh-sungguh, siang dan malam, segala adab berdoa sedaya mungkin dilaksanakan; namun doa mereka masih tidak dikabulkan. Ada yang masih tidak putus asa dan terus berdoa, ada pula yang hampir putus asa dan tertanya-tanya ‘bilakah agaknya doa aku akan dikabulkan oleh Allah?’
Apakah hikmah di sebaliknya? Mengapa doa seseorang itu lambat dimakbulkan oleh Allah?
Saya terbaca suatu catatan menarik yang ditulis oleh Ibn al-Jauzi rahimahullah dalam kitabnya Saaid al-Khathiir. Kitab ini ibarat ‘diari’ bagi Ibn al-Jauzi. Kalau disamakan dengan zaman kita ini, ia ibarat journal blog. Ia merupakan apa-apa faedah yang terlintas dalam fikirannya lalu dicatatnya supaya terpahat manfaat tersebut. Kitab ini amat menarik, dan pada penuntut ilmu yang mampu membaca dalam bahasa Arab, cubalah baca buku ini dan anda akan dapati mutiara-mutiara berharga di dalamnya!
Ok, berbalik kepada lambatnya termakbul doa seorang hamba, Ibn al-Jauzi menceritakan pengalamannya sendiri yang ditimpa suatu musibah dan beliau telah berdoa bersungguh-sungguh tetapi beliau tidak nampak tanda-tanda akan termakbulnya doa setelah suatu tempoh masa yang agak panjang telah berlalu. Maka datanglah syaitan (dalam bentuk bisikan untuk menyesatkan manusia) dan berkata : ‘Kalau orang yang pemurah tu dah tentu banyak hartanya, luas perbendaharaannya, tetapi jika orang itu bakhil bermakna dia tidak mempunyai apa-apa!’ Syaitan cuba mendatangkan was-was kepada dirinya dengan mengatakan bahawa jika Allah tidak memakbulkan doanya, dah tentu Allah tidak mempunyai apa-apa. Na’uzubillah min zalik! Lalu Ibn al-Jauzi cuba memerangi was-was ini lantas dia berkata kepada dirinya :
Sudah terbukti dengan dalil-dalil yang terang dan akal yang sihat bahawa Allah itu adalah RAJA sekalian raja. Maka adalah layak bagi seorang Raja untuk memperlakukan apa yang Dia suka terhadap hartaNya. Terpulanglah samada Dia mahu memberi hartanya atau tidak. Maka tidak ada alasan lagi untuk mempersoalkan perkara itu.
Dan sudah terbukti juga bahawasanya jika engkau melihat sesuatu itu sebagai kebaikan tetapi hikmah pula mengatakan sebaliknya. Sebagai contoh, seorang doktor yang hendak mengubati pesakitnya, zahirnya apa yang dia lakukan nampak menyakitkan pesakit tetapi lain pula kata hikmah; di situ adanya kebaikan yang boleh menyembuhkan.
Atau mungkin juga jika dilewatkan waktu terjawabnya doa itu ada kebaikannya, dan mempercepatkannya ada kemudaratan. Bukankah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam telah berkata (yang bermaksud) : “Seorang hamba itu akan sentiasa dalam kebaikan selagi mana dia tidak tergesa-gesa (untuk memohon supaya cepatnya doa termakbul); dia berkata : ‘Sesungguhnya aku telah berdoa tetapi belum dimakbulkan’.” (diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Ya’la dan al-Thabarani; sahih li ghairihi)
Mungkin juga doa masih belum termakbul disebabkan dosa atau kekurangan dalam adab berdoa yang tidak anda sedari. Mungkin ada keraguan dalam benda yang anda makan, mungkin juga hati andai lalai ketika berdoa, atau sebab-sebab yang lain. Maka periksalah perkara-perkara ini.
Perlu juga anda teliti apakah tujuan di sebalik doa anda. Mungkin jika ia termakbul ia akan menambahkan dosa anda atau menghilangkan satu perkara yang baik. Maka di sini, tidak termakbul atau lewat termakbulnya doa adalah lebih baik.
Akhir sekali, mungkin juga lambatnya termakbul doa itu menjadi sebab untuk engkau sentiasa di pintu munajat dan mendekatkan diri kepada Allah; jika engkau dapat apa yang engkau inginkan maka engkau akan jauh dari Allah. Buktinya jelas, jika tidak kerana ujian yang menimpa maka engkau tidak akan dilihat bermunajat dan berdoa pada Allah. Allah lebih tahu apa yang membuatkan hambaNya jauh darinya, maka Dia datangkan ujian untuk mendekatkan hambaNya kepadaNya, supaya mereka ini memohon pertolongan daripadaNya. Sesungguhnya musibah yang sebenar ialah apabila engkau jauh dariNya. Dan adapun apa yang membuatkan engkau berteleku di hadapanNya dan bermunajat, maka itulah keindahanmu yang sebenar.
Cantik..sangat cantik nasihat Ibn al-Jauzi ini. Pada pendapat saya, point yang terakhir tadi sudah cukup untuk mengubat hati. Itulah maksud sebenar musibah; supaya kita mendekatkan diri kepada Allah. Adapun adab-adab, cara berdoa dan perkara-perkara yang membantu termakbulnya doa, teruslah dipelajari, mudah-mudahan akan datang pertolongan Allah.
PERCAYALAH.. SETIAP UJIAN ITU PASTI ADA PENGHUJUNGNYA.
p/s : teringat pesan seorang sahabat. setiap manusia boleh berubah², tak kira dr jahat ke baik atau dr baik ke jahat. yg penting DOA. Insyallah kalau kita selalu berDOA memohon drNYA,InsyaAllah semuanya akan Allah lindungi dan makbul kan.
pentingnya doa tanpa ragu/putus asa, maha besar kuasa ALLAH S.W.T
Jika kita inginkan sesuatu dlm hidup,tak kira apa pon,BERDOALAH dgn bersungguh² padaNYA tanpa kenal erti putus asa,sesungguhnya dari DOA itula kita akan menemui jalan pd kebuntuan.
LAMBAT atau CEPAT doa kita dimakbulkan itu kuasaNYA,mungkin LAMBAT die mahu menduga & menguji kite.
1 comment:
jom doa jom..insyallah.. Amin
Post a Comment